Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksGaleri Sukan

 20131210_103939.jpg

Galeri Sukan Negara Brunei Darussalam yang terletak di Stadium Negara Hassanal Bolkiah telah dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada 7 April 2014.

Galeri ini mempamerkan perkembangan sukan di negara ini dan memberikan penghargaan serta pengiktirafan kepada tokoh-tokoh dan ahli-ahli sukan yang telah mengharumkan nama negara pada kejohanan sukan serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, Kejohanan Bolasepak Piala Malaysia, Kejohanan Bolasepak Liga Singapura, Kejohanan Bolasepak Piala Hassanal Bolkiah bagi Belia ASEAN dan Sukan Para yang melibatkan atlet-atlet yang berkeperluan khas. Turut dipamerkan ialah piala, pingat, cenderamata, peralatan sukan dan gambar-gambar kenangan para atlet negara.

Galeri Sukan mengandungi sebanyak (5) lima zon pameran dan (3) tiga sudut khas:

Zon A mempamerkan penglibatan atlet Negara dalam sukan dari tahun 1950-an hingga 1980-an, merangkumi sukan bola sepak, hoki, go-kart, tarik kalat dan banyak lagi. Antara atlet yang telah mengharumkan nama negara pada tahun berkenaan seperti Aloysius Sibidol, Awang Suhaili bin Lani, Awang Zainuddin bin Dato Marsal dan Awang Zunaidi bin Hamdan, Dayang Sanah binti Tamit, Onn Timbang, Zainal Abidin Sanif, Ak Yunus, Yaakub Mohamad, Rani Metassan, Sinin Metali, Awang Ahmad bin Rashid dan Awang Ali bin Haji Ismail.

Zon B mempamerkan penyertaan dan penglibatan Kerabat Diraja dalam sukan.

Zon C mempamerkan beberapa kejayaan atlet-atlet negara dan mengimbas kembali kejayaan penganjuran Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-20. 'Awang Budiman' adalah mascot Sukan SEA ke-20 sebagai lambang identiti kebruneian.   

Zon D adalah pameran bagi penglibatan Majlis Sukan Olimpik Negara Brunei Darussalam (BDNOC) ke Kejohanan Sukan Antarabangsa. Dalam zon ini juga mempamerkan kejayaan pasukan negara di Kejohanan Sukan Bolasepak Piala Hassanal Bolkiah Bagi Belia ASEAN (HBT) tahun 2012.

Zon E adalah pameran gabungan mengenai kejayaan pasukan Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan bola sepak semasa menjuarai Piala Malaysia 1999, Brunei DPMM FC menjuarai Piala Liga (League Cup) Singapura 2009 & 2012; penyertaan atlet Brunei dalam Sukan Malaysia, Sukan Persahabatan Bimp-Eaga, Sukan Arafura, dan Sukan Borneo serta penyertaan atlet-atlet kurang upaya dalam Sukan Para peringkat negara dan antarabangsa.

Dewan Kecemerlangan memaparkan wajah-wajah atlet negara yang telah berjaya menempa nama di persada sukan, membawa pulang pingat dan mengharumkan negara di peringkat antarabangsa. Mereka menjadi tokoh-tokoh sukan dalam ristaan yang dapat dibanggakan. Di samping itu, sudut ini juga mencatatkan nama-nama atlet yang telah berjaya memenangi pingat emas dalam Sukan SEA, Kejohanan Peringkat Asia & Serantau

Sudut Persatuan mempamerkan sejarah ringkas penglibatan beberapa Persatuan Sukan Kebangsaan khususnya bagi Sukan Teras (Core Sports).  Di samping itu, sudut ini juga memperlihatkan koleksi pakaian dan piala yang dimenangi.

Sudut Interaktif menyediakan beberapa jenis permainan dalam bentuk mini seperti permainan golf, bola keranjang, 'snakes and ladders', dart dan banyak lagi untuk memberi pulang dan pengalaman kepada pelawat memainkan sendiri permainan berkenaan.

 

Waktu Lawatan

Sabtu - Rabu 
9.00 a..m. - 5.00 p.m.


(BULAN RAMADHAN)

Sabtu - Rabu
9.00 a..m. - 3.00 p.m.

NOTA :
Pintu masuk akan tutup 30 minit sebelum waktu lawatan berakhir 





Galeri Sukan.png