Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

PENUKARAN NAMA KEPADA MUZIUM ALAT KEBESARAN DIRAJA
Sabtu, 2 Disember 2017 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sukacita memaklumkan bahawa sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Bangunan Alat Kebesaran Diraja ditukar nama kepada Muzium Alat Kebesaran Diraja bermula hari ini (1Disember 2017) dan seterusnya memperkenalkan logo muzium yang baru; iaitu gabungan payung dan kubah ‘dome’. Payung merupakan elemen terpenting diambil dari panji-panji peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga merupakan salah satu alat kebesaran yang menjadi simbol kepada pemerintahan Baginda. Manakala kubah’dome’ diambil daripada bangunan yang sedia ada, iaitu bangunan yang menyimpan alat-alat kebesaran diraja.

Penukaran nama ini adalah sesuai dengan status bangunan berkenaan sebagai sebuah muzium yang mempamerkan khazanah-khazanah warisan diraja khususnya tentang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dengan penukaran nama ini, sebuah galeri baru telah diubahsuai dan ditambah nilai dengan diberi nama Galeri Pameran Jubli Emas; Lima Dekad di Atas Takhta Kerajaan. Galeri Jubli Emas dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien menjadi Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-29 dan Istiadat Perpuspaan Baginda pada 5 Oktober 1967 dan 1 Ogos 1968. Perkembangan 50 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah juga turut dipaparkan dalam galeri ini termasuk maklumat mengenai pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.

Ruang-ruang pameran yang sedia ada juga melalui beberapa perubahan untuk meningkatkan pengalaman pelawat (visitors experience) antaranya ialah menambah maklumat-maklumat berkaitan dengan pameran termasuk penggunaan teknologi seperti kiosk maklumat, projektor, tayangan video dan sistem suara yang canggih.  

Bangunan Alat Kebesaran Diraja telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada 30 September 1992 dan mempunyai 3 galeri utama mempamerkan tentang Istiadat Perpuspaan (1968), galeri diraja dan galeri jubli perak. Purata jumlah pelawat ke muzium ini mencapai 9,000 pengunjung dalam sebulan dan lebih daripada 70% adalah pelawat luar negeri. 

Muzium Alat Kebesaran Diraja dibuka pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari kecuali hari Juma’at, tutup antara jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang. Sebarang maklumat berkaitan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja bolehlah menghubungi talian 2238358. 
Attachments
Created at 7/7/2018 1:11 PM by Muhd. Hafizul 'Ilmi Bin Hj Zaini @ Zatul Hilmi
Last modified at 7/7/2018 1:12 PM by Muhd. Hafizul 'Ilmi Bin Hj Zaini @ Zatul Hilmi