Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Perjanjian Persefahaman antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Republik Turkiye

​Selasa, 7 Mac 2023 - Ankara, Republik Turkiye. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama Presiden Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdoğan ke Majlis Penandatanganan Dokumen-dokumen Perjanjian.

Dua dokumen perjanjian telah ditandatangani antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Republik Turkiye dalam bidang kerjasama kebudayaan. 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama Mehmet Nuri Ersoy bagi pihak Kerajaan Turkiye dalam kerjasama Kebudayaan. 

MoU tersebut akan memudahkan dan menggalakkan kerjasama dalam bidang muzik, teater, arkib, perpustakaan, muzium, warisan budaya, tarian, seni visual, filem, hak cipta, kraf rakyat, seni hiasan dan gunaan, sarkas dan bentuk-bentuk seni yang lain.

Menandatangani dokumen bagi Protokol mengenai kerjasama antara Arkib Negara Brunei bersama Direktorat Arkib Pejabat Presiden Turkiye ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohammad Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan kerajaan Turkiye diwakili oleh Pengarah Arkib Pejabat Presiden Turkiye Prof Dr Ugur Unal. 

Dokumen tersebut menggalakkan penyelidikan dan bertukar-tukar sampel dokumen arkib yang diterbitkan semula, pertukaran pakar dalam bidang arkib, pertukaran bahan terbitan mengenai pengurusan arkib, serta menganjurkan mesyuarat saintifik atau teknikal.


MOU Turkiye.jpeg




Attachments
Created at 3/11/2023 3:26 PM by Mariani Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 3/12/2023 9:07 PM by Mariani Binti Hj Abu Bakar